Kata `dan’ ialah kata hubung gabungan.
Dari segi fungsi, kata ini menghubungkan dua perkataan, frasa atau ayat.
Contoh:
a. Ibu dan ayah akan ke Mekah pada tahun ini.
b. Saya akan mencipta lagu sekolah kita dan menulis liriknya.
c. Dalam majlis itu, ada orang yang menyanyi dan ada orang yang menari.
Kata `serta’ ialah kata hubung gabungan juga. Walaupun berfungsi sebagai kata yang menghubungkan kata atau frasa, namun makna yang didukungnya lebih luas daripada kata `dan’.
Iaitu ia juga membawa maksud:
(i) dan juga atau dan
(ii) bersama dengan atau dengan
(iii) mengikut bersama sebagai teman atau sebagai pembantu; mengiringi; menemani
(iv) ikut atau turut bersama
Ayat contoh:
a. Puan Salmah merupakan guru Bahasa Melayu yang baik serta rajin.
b. Puan Nurlina serta 40 orang murid akan melawat ke Langkawi.
c. Beberapa orang pegawai telah serta beliau ke persidangan itu.
d. Pada hari tersebut, saya tidak serta kerana saya telah membuat janji temu dengan doktor.
Kesimpulannya, kata `dan’ dan `serta’ berbeza dan segi fungsi dan makna.
Oleh itu, kedua-dua perkataan ini tidak boleh bertukar ganti dengan sewenang-wenangnya. Walaupun kata `dan’ bermaksud serta, namun kebanyakan kata `dan’ tidak boleh digantikan dengan kata `serta’. Tegasnya, kata `serta’ bukan sahaja sebagai kata hubung gabungan, malah kata ini juga berfungsi sebagai kata lain, iaitu kata kerja dan juga kata sendi nama. |