Dari aspek makna mengurniakan juga bermaksud menganugerahkan dan begitu juga sebaliknya. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dalam penggunaan kedua-dua kata berkenaan. Perkataan mengurniakan lazimnya dikaitkan dengan sultan/raja, seperti Baginda mengurniakan bintang kebesaran kepada para penerima/Istiadat pengurniaan pingat sedang berlangsung di Balairung Seri, manakala perkataan menganugerahkan boleh digunakan kepada raja dan bukan raja, seperti Baginda menganugerahkan pingat PJK kepada beliau/Kerajaan menganugerahkan sebidang tanah kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik.